Sunday, 1 July 2012

KONSEP AKIDAH ORANG MUKMIN


1.0       PENDAHULUAN

Pada zaman global kini, hari berganti hari, minggu berganti minggu bulan berganti bulan, tahun berganti  tahun aqidah umat Islam semakin meruncing dan sangat kritikal.  Bagi manusia yang terlalu mengikut hawa nafsu dan tidak menggunakan nikmat akal dengan sempurna yang dikurniakan oleh Ilahi akan mudah terpengaruh oleh godaaan duniawi.  Menurut Dr. Muhammad & Syeikh Abdullah (2002)  Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

 “Apalah ertinya dunia! Sesungguhnya perumpamaan dunia itu seperti seorang pengembara yang istirihat berteduh di bawah naungan pohon yang besar.”    

Pandangan manusia terhadap  kebendaan lebih besar berbanding usaha untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.   Hal ini menyebabkan keruntuhan akidah umat manusia semakin parah dan kritikal.  Corak kehidupan masyarakat juga telah mengalami perubahan demi perubahan seiring dengan perkembangan yang berlaku, baik perkembangan pesat dunia teknologi, politik, ekonomi mahupun sosial.  Perubahan sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam khususnya, harus mendapat perhatian kerana diselimuti kebimbangan merebaknya gejala-gejala negatif dalam kehidupan dan jiwa masyarakat Islam yang harmoni.  Perubahan ini juga menyebabkan manusia semakin alpa dengan tuntutan agama yang sebenar-benarnya. 

Oleh itu, manusia perlu kembali kepada agama islam yang berpegang teguh kepada akidah yang kukuh.   Selain itu, manusia hendaklah kembali kepada kitab Allah S.W.T  ( al-Quran ) dan sunnah Nabi kita ( al-Hadis ) dan seterusnya kepada ijma’ kaum Muslimin atau persepakatan atau yang diertikan dalam pengertian persepakatan itu.  Manusia tidak boleh mengada-ngadakan sesuatu yang baru dalam agaman Allah, iaitu dalam urusan – urusan yang manusia tiada diizinkan.  Manusia tidak boleh mengatakan sesuatu terhadap Allah padahal kita tiada mengetahui ( Imam Ghazali, 1988 ).



2.0       KONSEP AKIDAH

Aqidah dari segi bahasa :
Kepercayaan yang kukuh dalam hati
Perkataan akidah ungkapan bahasa Arab ‘aqada’, ya’aqidu, aqdan yang bermaksud simpulan atau ikatan kepercayaan atau keyakinan ( Kamus Dewan, 2000). 
Dari segi istilah :
Kepercayaan dan keyakinan yang mantap tentang kewujudan Allah s.w.t serta sifat kesempurnaan berdasarkan dalil naqli dan aqli.  Keyakinan terhadap aqidah yang sempurna lahir dari kepercayaan dan keyakinan yang teguh dan  disertai dengan uacapan dua kalimah syahadah, dan  dibuktikan dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya.
Biasanya ikatan atau simpulan ini berlaku pada benda yang dirasa seperti tali dan seumpamanya. Tetapi perkataan ini digunakan seperti  perjanjian dan seumpamanya.   Dari ikatan atau simpulan maknawi yang terkhusus dalam ideologi atau kepercayaan.

Aqidah boleh difahamkan sebagai kepercayaan yang terikat kuat dalam jiwa sehingga tidak mungkin tercerai atau terurai.  Aqidah boleh ditakrifkan sebagai kepercayaan yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki lagi qudus dan suci seperti yang diwajibkan dalam Islam selaras dengan ayat al-Quran yang bermaksud:

“ maka sesiapa yang kafirkan taghut dan beriman kepada Allah, sesunggguhnya telah berpegang teguh dengan simpulan tali yang kukuh dan tidak terputus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha mengetahui.”




Menurut Bey Arifin ( 1982 ), Agama Islam seperti sebatang pokok kayu kerana mempunyai dua ajaran.  Ajaran pertama mengenai kepercayaan ( Iman ) yang dinamakan Rukun Iman iaitu:
            i )   Percaya tentang adanya Tuhan yang menciptakan seluruh alam
            ii )  Percaya tentang adanya Malaikat, maklhuk ghaib yang selalu menjaga
      alam ini.
iii)  Mempercayai semua Rasul yang diutuskan Allah kepada manusia untuk  
      mengajarkan agama yang benar.
iv)  Mempercayai semua Kitab Suci Allah yang diturunkan kepada Rasul-rasul
      itu.
v)   Percaya bahawa semua manusia yang sudah mati akan dihidupkan
      kembali di Alam Akhirat, hidup yang kekal dan abadi, dimana semua 
      perbuatan manusia selama hidup di dunia ini diperhitungkan dan dibalas
      dengan balasan yang setimpal.
vi)  Percaya terhadap Qadha, iaitu bahawa semua apa yang terjadi itu adalah
     dengan kekuasaan Allah semata.

Rasulullah s.a.w. menjawab mengenai iman melalui sabdanya:
“ Beriman dengan Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan beriman dengan takdir baik dan jahat.”
 ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Selain itu, untuk mengukuhkan akidah yang jitu dan padu manusia perlu melakukan lima perkara yang dinamakan Rukun Islam iaitu:

i )   Mengucap dua khalimat syahadat, iaitu bermaksud:
      “ Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah, dan aku mengakui
      bahawa Muhammad adalah Rasul ( pesuruh ) Allah.”
ii)   Mengerjakan shalat ( sembahyang ) lima waktu sehari semalam
iii)  Mengerjakan puasa di bulan Ramadhan.
iv)  Mengeluarkan zakat harta setelah sampai senisab sekali setahun.
v)   Mengerjakan Ibadat Haji ke Makkah sekali seumur hidup, bagi
     yang mampu.     
Menurut  Hadit  Sabain (2007),  Abu Abdurrahman  Abdullah bin Umar bin Al-Khottob radiallahuanhuma dia berkata : Saya mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda bermaksud:

“Islam dibangun diatas lima perkara; Bersaksi bahwa tiada Ilah yang berhak disembah selain Allah dan bahwa nabi Muhammad utusan Allah, menegakkan shalat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan puasa Ramadhan.” 
(Riwayat Tirmizi dan Muslim)

Islam adalah aqidah dan amal perbuatan. Tidak bermanfaat amal tanpa iman demikian juga tidak bermanfaat iman tanpa amal.  Oleh itu, Islam seperti pokok kayu. Rukun Iman sebagai urat atau akar,  sedangkan Rukun Islam sebagai batang, dahan, dan ranting.  Bila urat atau akar kayu tidak hidup, tidak kuat, tidak terunjam jauh ke perut bumi, atau akar itu tidak mendapat tanah yang subur atau kurang pupuk, maka akibatnya pokok kayu itu akan hidup merana atau mati samasekali.   Sekiranya terus hidup akan kelihatan batang, dahan dan rantingnya tidak hidup subur ( Bey Arifin Arifin, 1982 ).


2.1       Hubungan manusia dengan Allah ( HablumminAllah )

Selain itu, kekuatan akidah yang teguh dapat dilihat melalui hubungan manusia dengan Allah S.W.T ( hablumminallah ) iaitu bagaimana kecintaan dan keabdian manusia terhadap Maha Pencipta.  Keyakinan terhadap sifat-sifat Allah S.W.T dan menurut perintah suruhan-Nya. 

Menurut Imam Ghazali ( 1988 ), Akidah para ahlis- sunnah terhadap Zat  Allah Ta’ala yang  Maha Suci, ialah  Allah itu Tuhan yang Esa tiada sekutu bagiNya.  Dia Qadim  ( lama) tiada awal bagi wujudNya.  Dia Kekal tiada luput samasekali, Dia masih bersifat keagungan  dan sifat keagungan ini akan berterusan, tiada akan musnah atau terputus dengan terluputnya bergai-bagai abad, atau berlalunya bermacam-macam waktu.


2.2       Hubungan manusia dengan manusia  ( hablumminannas )

Hubungan manusia dengan manusia ( hablumminannas ) penting untuk mendapat kemantapan akidah.   Hubungan ini diwujudkan untuk mendapat keredhaan Tuhan yang Maha Pemberi.  Jauhilah, permusuhan, dendam dan hasad.   Ketahuilah bahawa hasad adalah perbuatan tercela yang hanya mendatangkan kesusahan dan kesengsaraan bagi perlakunya.  Sesiapa mengingkari nikmat Allah yang telah dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan beroleh bahagian nikmat-Nya.
(Dr Muhammad & Syeikh Abdullah, 2002). 

Menurut Bey Arifin ( 1982 ), kebaikan budipekrti, sudah tidak sepi lagi keutamaannya dalam agama, sebab dengan sifat inilah Allah SWT  telah memuji NabiNya alaihis-salam dalam firmannya yang bermaksud:

“ dan sesungguhnya engkau memiliki budipekerti yang luhur.” 
                                                                                    ( al-Qalam: 4 )

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“ kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam syurga, ialah taqwa kepada Allah dan kebaikan budipekerti.”


3.0       PENJAGAAN DAN CARA MEMANTAPKAN AKIDAH

3.1       Amalan rohani ( Roh )

Penjagaan dan cara memantapkan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang dalam kehidupan.  Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah SWT. 

Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. 
Menurut Dr Muhammad & Syeikh Abdullah (2002), Allah berfirman yang bermaksud:
“...bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya....”
                                                                                    ( Ali Imran : 102 )
3.1.1   Kepercayaan kepada Allah s.w.t
Kepercayaan kepada Allah SWT  merupakan tunjang kepada iman seseorang hamba kepada Rabnya.  Kepercayaaan ini merupakan kesaksian hamba kepada Pencipta. Kesaksian ini menjadi ikatan penting untuk keutuhan dan keteguhan akidah seseorang hamba.
Menurut Bey Arifin ( 1982 ), Rukun Iman yang pertama ialah kepercayaan atau keimanan kepada Allah ( al-Imaanu Billah ) yaitu urat tunggangn keimanan, sumber segala macam kepercayaan dalam Agama Islam.  Bila kepercayaan kepada Allah ini lemah, maka akan lemahlah segala segi keagamaan seseorang.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“ sesiapa berpaling dari mengingat Allah. ( yaitu lupa sampai tidak ingat samasekali terhadap Allah ), pasti kesempitan dalam kehidupan sebagai akibatnya dan Kami akan himpunkan mereka di hari kiamat dalam keadaan buta.”
                                                                                                            ( Thaha: 124  )
3.1.2   Mengingati mati

Kehidupan di dunia yang panah ini hanya sementara sahaja.  Hal ini kerana setiap yang bernyawa akan mati dan menemui Allah SWT.  Oleh itu, seseorang wajib membuat persediaan untuk bertemu Allah SWT di akhirat kelak.   Keadaan ini kemantapan akidah seseorang berkait rapat dengan keyakinan terhadap kehidupan yang kekal abadi yang telah dijanjikan Allah SWT  terhadap hamba-hambaNya.


Menurut Bey Arifin ( 1982 ), adalah satu hal  yang sulit dapat dimengertikan oleh sebahagian orang, kenapa agama ( Islam ) menyuruh ummatnya untuk sering mengingati mati, sedangkan mati itu adalah satu perkara yang tidak menarik hati  atau mengembirakan, tetapi adalah satu perkara yang amat mengerikan  dan menegakkan bulu roma.  Hal ini kerana, di saat semua makanan dan minuman sudah berasa pahit semuanya, semua sanak dan keluarga sudah putus harapan untuk memberi pertolongan, apalagi kalau doktor sudah mulai menggelengkan kepalanya, maka di saat itu putuslah hubungan kita dengan seluruh alam ini.  Seluruh alam yang luas ini tidak ada kenderaan, pangkat dan kekuasaan, doktor dan ubatan-ubatan, semua itu sudah tidak berguna buat kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
    
“ Ingatlah! Bila roh sudah sampai di kerongkongan ( hampir mati ) dan semua manusia yang hadir menyaksikan sudah sama kehilangan akal dan bertanya: Siapakah gerangan yang dapat menolongnya.  Akhirnya si penderita sendiri yakin yang ajalnya sudah dekat, dan ketika itu mulailah dia dibelit kepayahan demi kepayahan.  Maka kepada Tuhanlah di hari itu tempat kamu kebali.  Maka  alangkah sengsaranya bila di kala sihatnya dia tidak percaya Tuhan dan tidak mengerjakan shalat, bahkan dia malah mendustakan Tuhan dan memaling muka, kemudian dia kembali ke tengah keluarganya dengan berlagak sombong.  Maka kecelakaan besarlah bagimu.  Sekali lagi kecelekaan besarlah bagimu dan kecelekaan besar.”
                                                                                          ( al-Qiamah : 26-35 )

3.1.3   Sentiasa berzikir

Allah berfirman dalam hadis Qudsi yang  bermaksud:

“ Wahai anak Adam, jika kamu berzikir (ingat) kepadaKu di dalam hatimu nescaya Aku akan ingat kepadamu dalam diriKu, dan jika kamu berzikir kepadaKu di khayalak ramai, niscaya Aku akan ingat kepadamu di khayalak ramai yang lebih baik daripadanya, dan jika kamu menghampiri Aku sejengkal, niscaya aku akan menghampiri kamu sehasta, dan jika kamu menghampiri Ku sehasta, niscaya Aku akan menghampirimu sedepa, dan jika kamu menghampiriKu dengan cara berjalan, niscaya Aku akan menghampirimu dengan cara berlari.”

(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Maksud zikir manusia kepada Tuhannya di dalam dirinya ialah zikir lisan dan zikir hati.  Sedangkan zikir manusia kepada Tuhannya di khayalak ramai maksudnya ialah amal iaitu melaksanakan hukum-hakam Allah di atas permukaan bumi ini.  Oleh sebab itu zikir kepada Allah tidaklah terbatas pada waktu-waktu tertentu, tetapi semua waktu adalah sesuai untuk berzikir.  Oleh sebab itu sekiranya manusia menginginkan agar hidupnya senantiasa diberkati dan dicucuri rahmat oleh Allah SWT mereka hendaklah senantiasa berzikir kepada Allah ( Dr. Abdullah, 2007 ).

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah kamu kepada Allah, (dengan) zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang .
(al-Ahzab: 41-42)

Dalam ayat ini menunjukkan orang yang beriman perlu memperbanyakkan berzikir  dan berdoa dengan Allah supaya tidak lalai.  Ayat ini juga menyuruh manusia sentiasa mengigati Allah SWT  dalam apa jua keadaan dalam kehidupan seharian.  Amalan ini dapat meningkatkan keimanan dan kemantapan akidah seseorang hamba kepada Maha Pencipta.

3.1.4   Sentiasa membaca al-Quran

Salah satu perkara yang boleh menjaga dan memantapkan akidah seseorang hamba kepada Allah ialah membaca Al-quran.   Rasulullah s.a.w telah meninggalkan dua perkara yang menjadi sumber rujukan ummatnya ialah al-Quran dan  
as-Sunnah.


Menurut Dr Muhammad & Syeikh Abdullah (2002), ubatilah penyakit-penyakit hati dengan makna al-Quran itu, kerana ia adalah ubat yang boleh memberi manfaat kesembuhan penyakit hati itu.   Di samping merupakan alat utama untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat.  Al-Quran adalah  tali  Allah yang kukuh, yang terang benderang cahayanya, yang terkandung di dalamnya jalan hidup yang lurus dan benar.

Menurut Imam Ghazali  ( 1988 ), Allah SWT  berfirman yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Kami ( Allah ) menurunkan peringatan ( al-Quran ) dan Kami pasti memeliharanya.”
                                                                                                                               ( al-Hijr: 9 ) 

Namun, adab dalam membaca al-Quran perlu dititik beratkan untuk menghormati dan mendapat keberkatan kitab suci ini.

Ibnu Abbas r.a berkata yang bermaksud :

“Bagiku jika membaca surah al-Baqarah dan surah ali-Imran dengan penuh tartil dan memahami semua maksud-maksudnya, adalah lebih aku utamakan daripada membaca seluruh al-Quran secara sambil-lalu saja.”   (Imam Ghazali, 1988).

3.1.5   Ilmu pengetahuan

Ilmu pengetahuan merupakan kunci kepada penjagaan dan kemantapan akidah seseorang hamba kepada yang Maha Pengasih dan Penyayang.   Ilmu ini memandu kita kearah amalan-amalan yang kita lakukan tidak terpesong daripada akidah yang sebenar-benarnya.

Menurut Bey Arifin, ( 1982 ),  selain mendapat rezeki dan jalan keluar, orang yang beriman dan taqwa terhadap Allah, yaitu orang yang tak ragu sedikitpun tentang Allah dan kekuasaanNya, serta patut taat dengan menjalankan segala perintah dan menghentikan segala larangan Allah, akan mendapat petunjuk ( hidayat ) dan pengetahuan dari Allah.

Firman Allah yang bermaksud:
“ Hai orang yang beriman, taqwalah kamu terhadap Allah, maka Allah akan member kamu pengetahuan.”
                                                                                                                 ( Al-Anfal : 29 )

3.2       Amalan fizikal  ( Jasmani )

Selepas seseorang memantapkan akidah melalui amalan rohani seterusnya kita akan mengamalkan amalan tersebut melalui amalan fizikal.   Amalan ini merupakan amalan seseorang hamba yang sentiasa lakukan dan boleh dilihat oleh sesiapa pun.  Selain itu, amalan fizikal kesinambungan daripada keyakinan kita kepada Allah SWT di dalam hati dan diterjemahkan melalui amalan-amalan wajid atau sunat.


3.2.1   Mengerjakan solat

Mengerjakan solat merupakan salah satu amalan fizikal bagi menjaga dan memantapkan akidah seseorang.   Solat terbahagi kepada dua iaitu solat wajid dan solat sunat.   Solat wajib lima waktu sehari semalam sepertimana yang terkandung dalam Rukun Islam.   Manakala solat sunat merupakan amalan-amalan tambahan daripada solat wajid.

Menurut Fatimah & et.al (2009 ), Dalam agama Islam, sembahyang atau solat adalah tiang agama dan merupakan ibadat wajib yang perlu dilakukan pada masa, keadaan, serta mengikut tertibnya.
Firman Allah yang bermaksud :

“ Bacalah serta ikutlah ( wahai Muhammad ) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang ( dengan tekun ); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”
                                                                                                                             ( Q 29 : 45 )

3.2.2   Berpuasa

Berpuasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa di siang hari.  Puasa juga terbahagi kepada dua iaitu puasa wajib dan puasa sunat.  Puasa wajib seperti puasa di bulan Ramadhan dan Nazar manakala puasa sunat seperti puasa hari Isnin, Khamis, Rejab, Syabaan dan sebaginya.

Puasa ini mendorong seseorang kepada sifat sentiasa bersabar dalam menempuhi segala rintangan di dunia ini.  Kesabaran yang tinggi menjadi benteng kekuatan akidah seseorang.


Menurut Imam Ghazali (1988 ), sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah keatas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa itu benteng bagi para wali, dan perlindugan bagi mereka dari segala tipu daya syaitan dan angan-angannya, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

Puasa itu separuh kesabaran

Allah telah berfirman yang bermaksud:

“ hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahala tanpa perhitungan.”
                                                                                                                        ( az-Zumar : 10 )

3.2.3   Mengerjakan Haji @ Umrah

Amalan ini hanya boleh dilakukan orang seseorang yang mempunyai kemampuan untuk menunaikan di Makkah.  Amalan ini juga merupakan cara untuk menjaga dan memantapkan akidah seseorang hamba.

Haji itu pula merupakan salah satu  daripada Rukun Islam dan sendi-sendinya yang terkuat, diwajibkan sekali seumur hidup.  Dengan menyempurnakan ibadat Haji itu akan tersempurna pulalah Islam seseorang itu dan lengkaplah agamanya.
( Imam Ghazali, 1988 ).




Firman Allah yang bermaksud:

Permaklumkanlah kepada sekalian manusia itu untuk melakukan ibadat Haji, niscaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai ( unta dan lain-lain ) mereka itu akan datang dari segala ceruk penjuru yang jauh.”
                                                                                                                          ( al-Haj: 27 )
3.3       Amalan hati ( Akhlak )

Akhlak yang baik rentetan daripada amalan roh dan jasmani yang kuat dan teguh.  Sekiranya kedua-dua amalan tersebut mempunyai tunjang dan akar yang kukuh maka terbaiklah akhlak seseorang itu.  Begitu juga sebaliknya sekiranya amalan lemah dan buruk maka akhlak seseorang itu kurang baik atau buruk.  Oleh itu, kekuatan akidah juga berkaitan rapat dengan amalan hati atau akhlak seseorang.


3.3.1   Adab dan akhlak Rasulullah s.a.w

Kita sebagai ummat Rasulullah tahu dengan akhlak Nabi Muhammad s.a.w yang mulia dan terpuji.  Oleh itu, untuk menjaga dan memantapkan akidah seseorang perlu mempunyai akhlak yang terpuji seperti akhlak Rasulullah s.a.w.  sebab itu Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“  Aku telah diutuskan semata-mata untuk menyempurnakan budipekerti yang mulia.”

3.3.2   Suka memaafkan orang lain
Sifat ini merupakan sifat seseorang yang mempunyai kekuatan iman dan keteguhan taqwa dalam diri.  Kekuatan untuk memaafkan kesalahan orang lain dapat mengelak seseorang daripada berdendam dan bermusuhan dengan sesiapa pun.  Oleh itu, sifat yang mulia ini merupakan akhlak yang dapat memantapkan akidah seseorang.


Menurut Dr Muhammad & Syeikh Abdullah (2002), Siti ‘Aisyah r.a pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w, kemudian dia menjawab,
Akhlak Nabi s.a.w adalah Al-quran.” 
Baginda redha kerana Al-quran, dan baginda marah juga kerana Al-quran.

3.3.3   Bersifat mahmudah
Sifat mahmudah ialah sifat yang baik seperti selalu memberi salam, jujur, amanah dan mempunyai hubungan yang baik dengan manusia.   Sifat ini berlawanan dengan sifat-sifat keji ( mazmumah) iaitu sombong, hasad dengki, pemarah dan sebaginya.
Penerepan sifat yang mulia ini mendorong seseorang melakukan amalan-amalan yang menjerus kepada keredhaan Tuhan yang Maha Esa. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan keyakinan dan keteguhan akidah seseorang hamba.

3.3.4   Amar ma’ruf nahi mungkar
Seseorang hamba yang memiliki akidah yang teguh dan kuat sering berpegang teguh kepada sifat tersebut.   Hal ini kerana mereka tidak mahu melihat kerosakkan berlaku dalam masyarakat amnya ummat Islam khususnya.
Sesungguhnya, telah rugilah orang-orang yang melakukan kezaliman.  Perintahkanlah yang ma’ruf dan cegahlah yang mungkar selagi kamu selamat di masa ujian ini.   Ingatlah bahawa jika kemungkaran itu tetap berlangsung, maka akan rosaklah kehidupan rumah tangga dan masyarakat .  Sedang hakikatnya kamu telah mengetahui yang demikian itu sepenuhnya (  Menurut Dr Muhammad & Syeikh Abdullah, 2002).
Diriwayatkan dari Nabi s.a.w bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud:
“ Sesungguhnya jika manusia melihat kemungkaran, kemudian tidak berusaha mengubahnya, maka Allah akan menyegerakan seksa daripada-Nya yang merata atas mereka.”
4.0       PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN AKIDAH
Kekuatan dan keteguhan akidah seseorang hamba sentiasa dalam keadaan turun naik.  Namun, kerosakkan akidah juga akan berlaku kepada seseorang hamba secara sedar atau tidak sedar.   Pengetahuan tentang perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah yang sering dilakukan oleh  golongan remaja mahupun dewasa perlu dihindari.   Oleh itu, amatlah penting mengetahui perkara-perkara ini supaya seseorang  tidak mudah terjebak.


4.1       Syirik
Kamus Dewan (2000) mentakrifkan syirik sebagai perbuatan menyekutukan Allah dengan yang lain seperti beribadah kepada selain Allah dengan menyembah patung, tempat keramat dan sebagainya.  Manakala dari sudut istilah syarak,  syirik adalah dosa yang paling besar dan tidak diampunkan oleh Allah SWT di Hari Akhirat.

Yusuf Qardawi (1986)  menjelaskan seseorang yang menjadikan Allah SWT sekutu dengan sesuatu yang berhak untuk Allah SWT.  Seperti seseorang menjadikan selain Allah satu Tuhan atau beberapa Tuhan lalu disembah atau ditaati atau dipohon pertolongan kepadanya atau mencintainya atau seumpamanya di mana itu sama sekali tidak layak kecuali hanya Allah sahaja. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Hanya kepaduMu lah kami beribadah dan hanya kepaduMu lah kami minta pertolongan ”
                                                                                                                        ( Al-Fatihah: 5 )

Syirik terbahagi kepada dua iaitu syirik nyata dan ada syirik tersembunyi, halus, susah melihat dan mendapatkannya.  Syirik nyata bila di samping mempercayai Tuhan Maha Esa, lalu mempercayai Tuhan lain.   Syirik tersembunyi pula ialah bila seseorang mengerjakan sesuatu  kerana riyak. Baik syirik nyata dan tersembunyai semuanya dosa besar ( Bey Arifin, 1982 ).



4.2       Meniru amalan orang bukan Islam

Menurut Mohd Masri (2011)  Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka.”
( HR. Ahmad dan Abu Daud. Syaikh Al Albani mengatakan hadis ini sahih Irwa’ul Gholil no. 1269)

Ini termasuklah merayakan sambutan atau budaya orang bukan Islam seperti Krisma, Hallowen. Termasuk juga meniru pakaian yang menjadi ciri khusus orang kafir, dan cirri khusus ajaran sesat seperti black metal, skinhead dan lain-lain. Apa sahaja yang melambangkan orang kafir atau golongan fasiq hendaklah dijauhi.   Hal ini boleh merosak akidah seseorang.


4.3        Merasakan hukum hakam Islam tidak sempurna

Pernah seorang pelajar perempuan tingkatan tiga menyatakan kenapa perempuan kena pakai tudung, lelaki tidak, dan dia menyatakan bahawa ia tidak adil. Perkataan seumpama ini boleh merosakkan akidah kerana ia menunjukkan kita tidak yakin dengan kesempurnaan hukum hakam Allah.

Hendaklah seseorang  yakin bahawa Islam agama yang sempurna.  Segala peraturan yang ada di dalamnya adalah sempurna.  Jika seseorang benar-benar beriman Allah Maha Bijaksana, kenapa perlu kita meragui keputusannya ( Mohd Masri, 2011 )

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
 (Al-Maidah : 50)
4.4       Percaya kepada sial

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bermaksud:

“Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa”
([Sahih al-Bukhari secara ta’liq)

Ini termasuk mempercayai jika ada biawak melintas ada nasib buruk, jika pinggan pecah ada sesuatu tidak elok berlaku dan sebagainya. Termasuk juga apa yang disebarkan melalui drama-drama mahupun movie tentang pen yang membawa tuah dan sebagainya ( Mohd Masri,2011).

4.5       Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal

Kerosakkan akidah seseorang banyak berlaku akibat daripada kurangnya keyakinan terhadap hukum hakam yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan Hadith.  Sesetengah golongan masyarakat menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.  Perkara ini banyak berlaku dalam urusan jual beli seperti riba.

Menurut  Dr Muhammad & Syeikh Abdullah (2002), ketahuilah bahawa termasuk dosa besar adalah bersikap tidak peduli terhadap ketentuan-ketentuan yang telah digariskan dan berlaku zalim terhadap manusia sesama dengan mengambil riba dalam melakukan berbagai akad.  Dan ketahuilah pula bahawa harta riba adalah haram, melenyapkan keberkatan dan mengantarkan perlakunya ke dalam neraka.  Ia juganmendekatkan pemakannya untuk dibangkitkan dalam keadaan berdosa dan terusir dari jalan menuju syurga.  Maka berjalanlah ia di lorong-lorong neraka, dan itulah seburuk-buruk jalan yang disediakan untuknya.
Rasulullah s.a.w bersbda yang bermaksud:

“ Riba itu ada tujuh puluh pintu, dan yang paling ringan dalam pandangan Allah adalah seperti orang yang menikahi ibunya.”

5.0       KESIMPULAN

Kekuatan dan keteguhan akidah umat Islam pada masa kini semakin jauh dari landasan agama  Allah SWT yang sebenar-benarnya.   Umat Islam perlu bangkit dari lena dan terus bangkit memperjuangkan agama Allah agar tidak dipersenda-sendakan oleh musuh-musuh Allah SWT.   Hal ini kerana dengan ada kekuatan dan keteguhan akidah menjadi faktor Agama Islam berdiri dengan teguh dan kukuh. 
Kebergantungan dan kepercayaan seseorang kepada yang Maha Esa perlu dititik beratkan untuk mendapat idayah dan bantuan Allah SWT.  Ini merupakan asas kepada keteguhan akidah seseorang.  Selain itu, penguasaan ilmu pengetahuan tentang akidah, ibadah dan akhlak perlu diteruskan  supaya amalan-amalan seseorang tidak terpesong dari landasan Agama Islam yang sebenar-benarnya.
Menurut Imam Ghazali ( 1988 ), Allah SWT telah mengurniakan nikmat ke atas hamba-hambaNya dengan mengutuskan NabiNya ( Muhammad s.a.w ) dan menurunkan kitabNya yang tiada didatangi kebatilan dari hadapan atau belakang, sehingga terbentang luas bagi para ahli fikir jalan mengambil iktibar atau contoh-tauladan dari padanya; iaitu dikeranakan ianya mengandungi banyak cerita dan berita. Dengan adanya al-Quran, nyata-teranglah bagi ummat manusia jalan kukuh yang harus ditujui dan titian lurus yang harus dilalui, kerana dalam al-Quran itu terdapat belbagai-bagai hokum yang memerbedakan di antara yang halal dengan yang haram.  Al-Quran itu laksana cahaya yang menerangkan, yang mana dengannya manusia akan terselamat daripada kemegahan diri, dan sebagai penawar yang mengubati segala jenis penyakit yang bersarang di dalam hati.
Berfirman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:
“ Sesungguhnya  kami ( Allah ) menurunkan peringatan ( al-Quran ) dan Kami pasti memeliharanya.”
                                                                                                                             ( al-Hijr : 9 )

1 comment:

  1. JT Binance Casino - Mumbai Casino 2021 | JT Marketing
    Join JT Binance Casino! With a rich history and experience in online 전라남도 출장샵 betting and online 동두천 출장안마 poker, JT's most popular 논산 출장마사지 and exclusive 안성 출장샵 brand is located 성남 출장마사지 at the heart of

    ReplyDelete